Sememangnya sudah menjadi tabiat pakatan pembangkang yang akan melakukan perkara-perkara negatif dengan menyalahkan pihak lain sebagai alternatif mereka untuk menutup aib sendiri, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Ujar beliau, sebelum ini pakatan pembangkang melakukan pelbagai taktik bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) baik dalam bentuk tindakan sebagaimana demonstrasi jalanan dan himpunan haram atau serangan psikologi kepada kepimpinan UMNO.
“Pendekatan pembangkang adalah dengan melakukan serangan terhadap apa-apa sahaja tindakan BN, sama ada memburuk-burukkan langkah kerajaan atau dasar yang dibuat namun nampaknya sehingga ke hari ini niat buruk mereka tidak berhasil,” katanya.
Ujar beliau, sepanjang awal tahun ini jika dilihat pakatan pembangkang cenderung memburuk-burukkan kerajaan kononnya bertindak membebankan rakyat ekoran kenaikan harga barang dan kos kehidupan yang semakin meningkat namun tidak berjaya yang memaksa mereka untuk mencari helah lain.
“Usaha berterusan kerajaan menjadi bukti bagaimana pemimpin BN sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam membantu rakyat sedangkan pakatan pembangkang yang ada gagal menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat apatah lagi untuk berusaha memperbaiki taraf hidup masyarakat.”
Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Papar, kepimpinan pakatan pembangkang semakin ketandusan idea apabila banyak usaha mereka untuk melemahkan kerajaan BN gagal termasuklah tindakan melaga-lagakan pemimpin-pemimpin dalam BN sendiri.
“Sudah memang kerja pembangkang yang akan mencari jalan untuk memburukkan apa-apa sahaja yang berkait dengan kerajaan termasuklah melalui provokasi tetapi gagal.
Persepsi tidak menjadi dan kemudian serangan peribadi dibuat namun tetap tidak berjaya sehingga setiap ruang yang ada akan cuba diambil peluang untuk memburukkan kerajaan.
“Apa yang pasti, sekarang ini pembangkang tercari-cari idea bagi melemahkan BN dengan pelbagai serangan sebagai cara terbaik untuk menutup banyak masalah dalaman mereka yang perlu disembunyikan dan tidak menjadi tumpuan awam,” katanya.
Ujar beliau, antara perkara negatif yang enggan diperkatakan dalam pakatan pembangkang itu sendiri adalah berkaitan ketidaksefahaman dalam kepimpinan mereka sebagaimana ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak ‘sebulu’ selain Anwar sendiri yang begitu terdesak untuk mengalihkan tumpuan masyarakat terhadap perbicaraannya di mahkamah sementara DAP yang masih berdepan siasatan ROS.
“Apa pun yang dilaksanakan oleh pakatan pembangkang terhadap BN mereka tidak boleh menolak hakikat bahawa antara kepimpinan pembangkang amat bercelaru, tidak mementingkan rakyat yang memberi kepercayaan kepada mereka dan gagal melunaskan tanggungjawab yang diberikan.
“Lebih teruk lagi, pakatan pembangkang gagal menjadi ahli politik yang efektif sebaliknya mereka hanya tahu mencari salah orang lain untuk menutup kesalahan sendiri.”
Bidas beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, secara jelas pendekatan pakatan pembangkang hanya mewujudkan masalah dengan menjadikan suasana dalam masyarakat tidak harmoni, tidak bekerja untuk rakyat, tidak melaksanakan tugas utama selaku wakil rakyat dan senring saja menimbulkan isu untuk agenda peribadi demi kuasa, pangkat dan kedudukan.
“Sudah-sudahlah, pemimpin pembangkang seharusnya berasa malu dengan apa yang telah mereka lakukan apatah lagi mereka mencipta kemelut dalam PRK Kajang yang turut mengheret rakyat,” tegasnya.
Tambahnya, walaupun BN menerima serangan negatif dari pembangkang namun kerajaan tetap meneruskan pelaksanakan inisiatif-inisiatif untuk rakyat seperti BR1M, bantuan persekolahan, Kedai Buku 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Projek Perumahan 1Malaysia atau PR1MA, Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA serta Menu Rakyat 1Malaysia dan macam-macam lagi sebagai ikhtiar yang dilakukan demi kepentingan serta kesejahteraan segenap rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment