Nuffnang Ads

Friday, 7 March 2014

Kes Hina Kaum, Agama Banyak Guna Akaun Palsu

Peningkatan kenyataan menghina kaum dan agama yang berleluasa sekarang disumbang oleh akaun media sosial palsu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Katanya mereka berbuat demikian dengan tanggapan pemilik akaun tidak dapat dikesan sedangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai kaedah dan kepakaran untuk mengenal pasti pelaku terbabit.
Pemilik akaun yang dikenal pasti akan diarah memadamkan semua kandungan menghina atau fitnah itu selain berdepan tindakan undang-undang, katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Detik Kira 100 Hari Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2014′, di Auditorium Perdana, Wisma Radio, Angkasapuri di sini pada Khamis.
Katanya sehingga kini sebanyak 20 kes yang meliputi pelbagai kesalahan sudah diambil tindakan undang-undang.
Tindakan yang diambil bukan sahaja menurut Akta Komunikasi dan Multimedia, tetapi juga akta-akta lain seperti Akta Fitnah, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan, katanya.
Sementara itu, Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi yang turut hadir berkata tempoh yang diambil bagi menyiasat sesuatu kes bergantung kepada kerumitan kes dan bukti yang diperoleh.
“Kita mempunyai kaedah kita untuk mengesan mereka dengan kerjasama polis. Sudah tentu mereka tidak boleh lari,” katanya.
Contohnya, SKMM telah mengesan individu yang menyebar gambar pegawai AmBank yang ditembak pada tahun lepas dan paling mengejutkan individu itu seorang pengguna Facebook bawah umur, iaitu berusia 16 tahun, katanya.
“Apabila SKMM bertanya kepada remaja tersebut kenapa memuat naik dan menyebar gambar itu, dia hanya kata hendak mempromosikan laman Youtube,” katanya.
Justeru, Mohamed Sharil mengingatkan pengguna laman sosial supaya memanfaatkan kebebasan yang diberidengan baik dan tidak menyalahguna platform komunikasi itu.

No comments:

Post a Comment