Nuffnang Ads

Thursday 20 March 2014

Kerajaan Kaji Keperluan Tambah Barangan Terkawal Musim Perayaan

Kerajaan akan mengkaji dari semasa ke semasa keperluan penambahan barangan terkawal dalam Skim Kawalan Harga mengikut musim perayaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata ini kerana ia bergantung kepada permintaan pengguna ke atas sesuatu barangan khusus pada sesuatu musim perayaan.
“Penetapan jumlah barangan adalah mengikut musim perayaan sama ada Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Hari Raya Puasa, Deepavali atau Krismas.
“Jenis barangan terdiri daripada ayam, daging, telur ayam, sayuran, barang kering dan hasil laut,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab pula soalan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) mengenai Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), beliau berkata kerajaan berhasrat untuk mewujudkan kedai tersebut di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.
Ahmad Bashah berkata pada masa ini terdapat 128 KR1M dan kementerian berusaha untuk menambah 60 buah kedai lagi di seluruh negara.
Beliau berkata kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menambah baik barang jualan di KR1M dengan menjual barang basah.
“Sekarang kita adakan pilot projek iaitu sebanyak 10 buah kedai di Lembah Klang dalam peringkat percubaan menjual barang basah, sekiranya berjaya ia akan dikembangkan di kedai KR1M yang lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment