Semua pihak perlu bersatu hati dan menyokong Rancangan Rekonsiliasi Nasional yang bakal diumumkan kerajaan sebagai inspirasi kepada rakyat untuk saling hormat-menghormati dan hidup dalam satu keluarga besar di Malaysia, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah.
Katanya, sekiranya ada antara pihak yang terpengaruh dengan gaya politik kebencian pembangkang yang lebih cenderung untuk menghuru-harakan negara maka tidak mungkin rekonsiliasi yang diidamkan tidak akan tercapai.
“Pakatan pembangkang amat takut sekiranya perpaduan berlaku dalam masyarakat negara ini kerana dengan tindakan bersatu padu sebagaimana Rancangan Rekonsiliasi Nasional maka tentunya mereka tidak akan dapat mewujudkan suasana tidak harmoni dan kemudiannya menghasut rakyat untuk menolak kerajaan,” katanya.
Dilaporkan, Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberitahu akan mengumumkan Rancangan Rekonsiliasi Nasional yang akan dilaksana bagi mencipta persekitaran yang kondusif dan menggalakkan perpaduan kosensus berlandaskan prinsip hormat menghormati, bekerja dan bergembira bersama, serta semangat bertolak-ansur untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik untuk semua.
“Inilah perancangan jangka panjang dalam tanggungjawab sebuah kerajaan yang benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat dan sewajarnya rancangan tersebut perlu disokong dan mendapat kerjasama dari semua pihak bagi menjayakannya.
“Tapi tentunya pakatan pembangkang pun punya perancangan untuk merosakkan apa-apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan sebagaimana yang seringkali mereka buat misalnya demonstrasi jalanan dan melakukan pelbagai perkara buruk,” ujar Dr Ibrahim.
Tegas beliau, dengan apa yang telah berlaku sejak kebelakangan ini, amat terserlah bahawa pakatan pembangkang sememangnya tidak mahu melihat perdamaian dan perpaduan di kalangan rakyat berlaku kerana mereka tahu sekiranya rakyat Malaysia bersatu padu maka BN akan terus kukuh dan utuh.
”Pembangkang ini tidak mahu kerajaan yang diterajui oleh BN kukuh dan mereka bermati-matian mahu merosakkan apa-apa sahaja dasar kerajaan biarpun secara jelas pelaksanaan kerajaan memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat.
“Lebih teruk lagi, pakatan pembangkang menggunakan isu-isu sensitif sebagai bahan untuk memporak-perandakan negara, mencabar undang-undang dan mempertikaikan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan sedangkan sewajarnya semua perkara ini tidak berlaku.”
Dalam hal ini, beliau memberi contoh bagaimana pembangkang menggunakan isu keagamaan dan perkauman sebagai bahan politik selain sanggup melakukan penghinaan kepada institusi Di-Raja sedangkan Raja-raja mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Perlembagaan negara.
“Kita tidak perlu terjerat dengan taktik emosional pembangkang kerana seharusnya setiap apa yang hendak kita putuskan adalah bersandarkan kepada perundangan negara ini dengan sistem demokrasi yang adil dan terpimpin, Perlembagaan Persekutuan menjadi pegangan, kita ada Rukun Negara sebagai panduan, Raja-raja Melayu perlu terus dipertahan selain menjadikan sejarah lalu sebagai tauladan.
“Banyak tindakan pakatan pembangkang yang bercanggah dengan undang-undang negara kita, mencabar kedudukan Perlembagaan Negara sedangkan keharmonian dan keutuhan masyarakat majmuk yang kita pertahankan selama ini cuba dicalarkan,” katanya lagi.
Bidas beliau, pembangkang cuba menjahanamkan negara melalui demonstrasi jalanan, mengadakan himpunan haram dan menggunakan pelbagai kata-kata kesat untuk kepimpinan tertinggi negara.
“Keharmonian negara akan menjamin masa hadapan generasi akan datang dan Rancangan Rekonsiliasi Nasioanl dibuat untuk kepentingan semua pihak, mengenepikan perbezaan yang berlaku dan mewujudkan suasana muhibah dalam masyarakat antara kaum dalam jangka masa panjang.”
Terbaru, antara pemimpin pembangkang yang didapati melanggar perundangan ialah Karpal Singh yang didapati bersalah mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan terhadap Sultan Perak semasa krisis Perlembagaan pada 2009.
Karpal Singh, telah mempertikaikan perlantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak dan menyalahkan DYMM Sultan Perak kerana memperkenankan pelantikan tersebut bagi menggantikan Nizar Jamaluddin.
Karpal Singh telah mengeluarkan kenyataan bahawa DYMM Sultan Perak perlu diseret ke mahkamah untuk dibicarakan kerana memberikan perkenan kepada perlantikan Zambry Abdul Kadir setelah pakatan pembangkang kehilangan majoriti di DUN Perak.
No comments:
Post a Comment