Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menggesa orang ramai supaya tidak dipengaruhi spekulasi yang disebarkan pelbagai pihak berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak Sabtu lepas.
Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata sebaliknya mereka perlu mendapatkan berita sahih daripada pihak berkuasa atau MAS tentang kejadian ni agar tidak mengganggu operasi mencari dan menyelamat, yang memasuki hari ke-tiga.
“Ia juga akan mengganggu emosi anggota keluarga penumpang MH370.
“DCA berharap orang ramai akan memahami situasi ini kerana pihak berkuasa sedang menjalankan operasi sedaya upaya untuk mencari serta mengetahui keadaan sebenar MH370,” katanya dalam temu bual melalui telefon bersama TV1 Radio Televisyen Malaysia pagi ini.
Azharuddin juga berterima kasih kepada semua pihak termasuk negara jiran yang mempamerkan semangat muhibah dan setiakawan bagi melicinkan perjalanan operasi itu.
“Pihak terlibat juga menerima sokongan moral dan dorongan daripada pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan semangat kepada kami untuk menjalankan operasi ini sebaik mungkin,” katanya.
Azharuddin turut menghargai bantuan yang ditawarkan Vietnam, China, Amerika Syarikat, Singapura, Filipina dan Australia dalam usaha itu.
Katanya banyak lagi negara asing menawarkan diri untuk memberi sokongan dan bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370.
Beliau juga berharap pesawat dan penumpang akan ditemui secepat mungkin.
Penerbangan MAS MH370 membawa 227 penumpang dari 14 negara dan 12 kru hilang daripada radar semasa berada di Laut China Selatan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Sabtu.
Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas pada pukul 12.40 pagi dari Lapangan Terbang KL dan hilang kira-kira 1.30 pagi. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi.
No comments:
Post a Comment