Malaysia menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Vietnam kerana menjadi negara anggota Asean pertama menghulurkan bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan Malaysia amat menghargai sumbangan besar kerajaan Vietnam dan anggota tenteranya dalam operasi itu.
“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya amat menghargai usaha dan sumbangan anda. Saya juga yakin kunjungan ke Malaysia (oleh delegasi anda) akan membuahkan hasil dan mencapai tujuannya,” kata Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis jamuan malam yang dihoskan UMNO di sini, Isnin malam.
Majlis itu diadakan bagi meraikan delegasi Parti Komunis Vietnam (CPV) yang melakukan lawatan empat hari ke sini bermula semalam, dengan diketuai Pengerusi Suruhanjaya Pusat Hubungan Luar CPV Hoang Binh Quan.
Turut hadir setiausaha agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Sohaimi Shahadan.
Ahmad Zahid berkata formula rahsia bagi kejayaan Asean adalah prinsip keamanan, kestabilan dan berkecuali yang diamalkan di rantau ini.
“Semua masalah antara kita, bahagian lain di Asia dan kuasa besar, perlulah diselesaikan secara baik melalui dialog, perdamaian, konsensus, forum, perundingan dan perbincangan.
“Janganlah sekali-kali melalui penggunaan ancaman dan paksaan. Kita perlulah sentiasa mengamalkan budaya keamanan dan memastikan Asean sendiri membentuk masa depannya,” katanya.
Sementara itu, Hoang berkata kerajaan Vietnam menyampaikan ucapan simpati yang amat mendalam terhadap kerajaan dan rakyat Malaysia serta sanak saudara anak kapal dan penumpang pesawat berkenaan.
“Kami melaksanakan usaha mencari dan menyelamat dengan menubuhkan sebuah markas bagi menyelaras pesawat dan kapal tentera laut dari negara lain yang berganding bahu dengan Malaysia dalam usaha mengesan pesawat yang hilang itu,” katanya.
Penerbangan MH370 ke Beijing, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang pada pagi Sabtu lepas (8 Mac) kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 pagi. Pesawat berkenaan dijadualkan tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
No comments:
Post a Comment