Peratusan mengundi yang merosot dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bukti pengundi di kawasan itu tidak suka demokrasi dipermainkan oleh sesetengah pihak.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, perkara itu terbukti apabila jumlah yang mengundi merupakan terendah dalam sejarah PRK di semenanjung.
“Baru Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pilih wakil rakyat, sekarang ni hendak keluar lagi mengundi kerana wakil rakyat yang mereka undi meletak jawatan sewenang-wenangnya, tanpa berunding dengan pengundi mereka.
“Paling serius saya merasa terbukti di PRK Kajang ini adalah rakyat menjadi jemu,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Ruang Bicara di Bernama TV, Isnin malam.
Sejumlah 28,314 pengundi atau 72 peratus daripada keseluruhan 39,278 pengundi berdaftar, mengundi pada Ahad.
Jumlah itu menurun sebanyak 16 peratus berbanding 88.4 peratus pada PRU13, Mei tahun lepas.
Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 16,741 undi berbanding 11,362 undi calon Barisan Nasional Datin Paduka Chew Mei Fun, dengan majoriti 5,379 undi.
Sementara itu, Datuk Wan Ahmad menyokong cadangan sesetengah pihak supaya mana-mana wakil rakyat yang melepaskan jawatan tanpa alasan yang kukuh dikenakan tindakan.
“Wajarlah perundangan dikaji semula supaya tidak membazir wang rakyat, membazir masa, tenaga dan tidak memperlekehkan pilihan rakyat.
“Kalau tidak berwaspada, cara peletakan jawatan seperti di Kajang ini akan terjadi lagi,” katanya.
Beliau mencadangkan jika benar seseorang wakil rakyat ingin melepaskan jawatan tanpa sebab yang kukuh, mereka hanya boleh berbuat demikian selepas tiga tahun berkhidmat.
“Selepas tiga tahun, tidak perlu lagi diadakan PRK. Kawasan itu akan ‘ditanggung’ oleh parti berkenaan. Maka tidak perlu mengeluarkan belanja sejuta ke dua juta untuk membuat PRK,” katanya.
PRK Kajang diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan secara mengejut pada 27 Jan lepas.
No comments:
Post a Comment