Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) akan memastikan pembangkang menerima pengajaran berguna sekiranya berhasrat meneruskan agenda mengosongkan kerusi dimenangi pada pilihan raya lalu demi keuntungan politik.
Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan mempersendakan keputusan rakyat itu perlu diberi pengajaran supaya mereka tidak terus menggunakan pilihan raya tidak perlu itu sebagai medan menabur dakwaan rakyat menolak kerajaan pimpinan BN.
“Pembangkang ini tidak ada agenda penting selain menghabiskan masa rakyat turun mengundi dalam pilihan raya kecil yang tidak perlu.
“Bagi saya, kalau ada kekosongan ekoran wakil rakyat pakatan pembangkang sengaja meletak jawatan, Barisan Nasional akan ada di situ dan pastikan mereka jatuh dan terjunam,” katanya ketika berucap pada program mesra rakyat di perkarangan Blok B, Pangsapuri Taman Kota Cheras, di sini hari ini.
Hadir sama Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata kenyataan sebegitu jelas menunjukkan pakatan pembangkang sengaja ingin menyusahkan orang ramai dan BN selaku parti yang memperjuangkan nasib rakyat, perlu tampil menawarkan diri bagi menghalang pengundi di kawasan terbabit dipermainkan sewenang-wenangnya.
“Sebab itu pilihan raya kecil (Dewan Undangan Negeri Kajang) ini penting untuk rakyat jadikan landasan bagi halang elemen negatif yang dibawa pakatan pembangkang dari terus berleluasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menarik perhatian bahawa pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan memberi kelebihan kepada Chew berdasarkan pengalaman dimiliki Naib Presiden MCA itu.
Selain pengalaman sama ada di peringkat parti atau kerajaan, Chew juga tidak berhadapan dengan permasalahan dalam keluarga dan parti sepertimana dihadapi calon lawan, katanya.
Muhyiddin berkata jika dipilih, Chew walaupun akan berada di dalam DUN Selangor sebagai pembangkang, pengundi harus ingat bahawa beliau memiliki keistimewaan lebih besar, iaitu hubungan terus dengan kerajaan persekutuan.
“Jika terpilih, Chew telah berjanji untuk berada dua kali seminggu secara sepenuh masa bersama penduduk Kajang, dan kita akan bantu supaya setiap permasalahan rakyat yang dikemukakan akan ditangani sebaiknya,” katanya.
No comments:
Post a Comment