Nuffnang Ads

Thursday 20 March 2014

Isu Tuntutan Bertindih: Malaysia Kekal Pendirian Selesai Secara Rundingan Aman

Malaysia sekali lagi mengulangi pendirian bahawa pertikaian tuntutan bertindih kawasan Laut China Selatan yang dihadapi negara penuntut akan diselesaikan secara aman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata terdapat tiga pendekatan yang akan diambil oleh kerajaan Malaysia berhubung tuntutan itu iaitu rundingan secara aman, mematuhi perundangan antarabangsa seperti yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) dan merujuk kepada pihak ketiga seperti mahkamah keadilan antarabangsa, tribunal antarabangsa mengenai undang-undang laut dan tribunal timbang tara.
“Bagaimanapun buat masa ini kita tidak bercadang untuk merujuk kepada pendekatan ketiga dan lebih senang memilih pendekatan secara rundingan,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Enam pihak yang menuntut kawasan Laut China Selatan atau sebahagian daripadanya ialah China, Taiwan, Vietnam, Filipina, Brunei dan Malaysia.
Shahidan berkata sehingga kini, sebanyak tujuh pencerobohan dikesan yang melibatkan 16 buah aset tentera laut China di kawasan zon ekonomi eksklusif Malaysia di Laut China Selatan.
Bagaimanapun katanya keadaan di perairan negara itu yang diawasi Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia adalah terkawal.

No comments:

Post a Comment