Nuffnang Ads

Thursday, 13 March 2014

Pembangkang Heret Demokrasi Kepada Agenda Peribadi

Pelbagai tindakan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang dalam berpolitik khususnya ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cenderung membuat pelbagai provokasi dan tindakan negatif termasuklah bersandarkan kepada agenda peribadinya sendiri.
Penganalisis politik tempatan, Dr. Jeniri Amir melihat tuduhan terbaru Anwar yang mendakwa badan kehakiman negara diperalatkan apabila keputusan mahkamah tidak berpihak kepadanya bukanlah sesuatu yang menghairankan.
“Sejak tahun 1999 hinggalah ke hari ini Anwar telah menjadikan arena politik tempatan seakan-akan berdasarkan kepada agendanya sendiri iaitu sanggup melakukan apa-apa sahaja termasuklah pilihan raya kecil, demonstrasi jalanan dan lain-lain lagi,” katanya.
wan-azizah-anwar-ibrahim-seret-peribadi-kroni-rakyat-pincang-demokrasi-malaysia
Dalam hal ini, beliau menyorot kepada gerakan reformasi yang berlangsung selepas Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 1999 yang kemudiannya berlarutan dengan penularan politik kebencian dalam masyarakat.
“Anwar mengheret demokrasi tulen yang diaplikasi dalam negara kepada krisis peribadi apabila pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh terpaksa diadakan ekoran daripada percaturannya yang menyebabkan isterinya Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan bagi memberi laluan kepadanya.
“Dan sekarang, ia berulang kembali di DUN Kajang apabila ADUNnya juga terpaksa mengundurkan diri bagi membolehkannya bertanding sedangkan dalam masa yang sama, tarikh perbicaraannya di mahkamah sangat hampir namun keputusan hakim tidak berkait dengan hal-hal terbabit.”
Ujarnya, tindakan Anwar dengan pelbagai kenyataan yang menuding jari kepada kerajaan bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sememangnya telah menjadi tabiat beliau dalam apa-apa keadaan pun.
“Apa-apa kenyataan yang dibuatnya adalah untuk mengalih perhatian rakyat daripada bertumpu kepada kesalahan yang telah dilakukannya dan cara terbaik adalah dengan menyatakan kononnya wujud tangan-tangan ghaib dalam keputusan mahkamah sedangkan hakikatnya semua pihak tahu bahawa mahkamah adalah badan yang bebas bersandarkan konsep pengasingan kuasa.
“Hakim-hakim yang membuat keputusan juga adalah berasaskan kepada fakta dan hujah yang kukuh tanpa memihak kepada mana-mana badan sama ada kerajaan atau pembangkang kerana kredibiliti dan keputusan yang mereka lakukan bersandarkan kepada kebenaran dengan mendapat perhatian bukan hanya di negara ini tetapi juga masyarakat antarabangsa.”
Lebih dari itu, beliau yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak melihat tindakan Anwar mengajak ahli-ahli Parlimen pembangkang memboikot Dewan Rakyat pada hari pertama persidangan berlangsung juga adalah berasaskan kepada kepentingan peribadinya sendiri.
“Hukuman mahkamah terhadap Anwar adalah soal peribadi dan tidak ada kaitan dengan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada ahli-ahli Parlimen terbabit, malah tindakan memboikot persidangan Dewan Rakyat adalah suatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika.
“Inilah nilai kredibiliti Anwar sebagai ketua pembangkang yang menjadi cerminan kepada ahli-ahlinya dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebagai pemimpin.”
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat untuk bertegas dalam membuat keputusan dan menolak segala perancangan jahat yang hanya menjadikan medan politik negara penuh dengan adu-domba dan kebencian.
“Ini bukanlah sesuatu yang baik untuk perkembangan politik tanah air kerana politik sedemikian amat meletihkan malah terkeluar dari kematangan sebagai seorang pemimpin apatah lagi dalam keadaan Malaysia menuju negara maju,” tegasnya lagi.

No comments:

Post a Comment