Nuffnang Ads

Thursday 6 March 2014

Mat Taib Usah Malukan Diri Sendiri – Ruslan Kasim

Bekas Ketua Penerangan Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kasim membidas bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib yang mendakwa bahawa kini tidak ada lagi individu yang berkaliber di dalam UMNO dan menasihati beliau agar jangan jadi seperti pepatah kacang lupakan kulit.
Menurut Ruslan, Muhammad Taib seharusnya menyuluh dirinya di cermin terlebih dulu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian yang menurutnya seumpama menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.
“Apakah dia lupa kes dia dulu? Bukankah ketika itu beliau di dalam UMNO? Perbuatan beliau itulah yang menyebabkan nama UMNO jadi busuk di mata masyarakat. Kerana ada orang seperti  beliaulah, maka imej UMNO jadi rosak.
“Semasa beliau di dalam UMNO, apa yang beliau tak dapat? Semuanya beliau dapat. Harta, pangkat, populariti, semua beliau dapat. Anak raja pun beliau dapat. Sedangkan pejuang-pejuang sebenar di dalam UMNO tak dapat apa pun dan tak minta apa pun dalam perjuangan membela Agama, Bangsa dan Negara,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
mat-taib-pas-selangor-mat-sabu-diperalat-diperguna-anwar-pakatan
Katanya lagi, hakikat sebenarnya ialah ramai pemimpin-pemimpin yang bagus yang telah meninggalkan PKR seperti Dr. Chandra Muzaffar, Dr. Halili Rahmat, Ezam Md Nor, Zainur Zakaria, Dr. Abdul Wahid Ahmad Suhaimie, Zulkifli Noordin dan ramai lagi.
“Itu bukti bahawa begitu ramai individu yang berkaliber dan bagus keluar parti dan meninggalkan perjuangan PKR. Siapa pula yang beliau maksudkan pemimpin yang bagus meninggalkan UMNO dan menyokong PKR?
“Padahal, yang menyokong perjuangan pembangkang adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang kecewa seperti beliau dan Anwar. Ini memperlihatkan bahawa beliau hanya bercakap semberono tanpa berpijak di bumi yang nyata,”ujarnya.
Muhammad Taib dilaporkan berkata demikian ketika berucap pada pada program Pelancaran Jentera Pas PRK Kajang di Taman Jenaris malam tadi.
Jelas Ruslan,  keluarnya pemimpin-pemimpin seperti Muhammad Taib dan Anwar Ibrahim daripada UMNO merupakan satu proses pembersihan dan penyucian parti ini daripada terus dirosakkan oleh orang-orang seperti mereka.
“UMNO lebih baik tanpa mereka. Golongan seperti mereka ini menggunakan UMNO untuk mendapatkan laba  dunia, populariti dan sebagainya. Mereka ahli politik tulen, bukan pejuang tulen.
“Ahli politik seperti mereka menggunakan pentas politik untuk kepentingan diri mereka sendiri. Perjuangan mereka hanyalah untuk diri mereka, sebab itu mereka kecewa apabila tidak mendapat apa yang mereka hajati dalam UMNO, lalu berhijrah ke parti politik lain. UMNO tidak perlu pemimpin yang sebegini,” tegasnya.
Seterusnya kata beliau lagi,semua orang tahu apa punca sebenarnya beliau keluar daripada UMNO.
“Umum tahu, beliau kecewa kerana tidak dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO ketika bertanding, itu sebenarnya punca beliau keluar UMNO. Merajuk dan kecewa. Tak dapat jawatan, keluar dari parti. Apakah ini sikap pemimpin yang bagus?
“Jadi, setelah keluar UMNO, janganlah beliau mencerca dan merendah-rendahkan parti yang pernah memberikan beliau peluang untuk mengaut segala keuntungan yang beliau miliki hari ini. Dulu beliau hanya seorang cikgu biasa, tetapi setelah masuk UMNO, kehidupannya berubah serta merta.
“Bak kata pepatah, janganlah rosak panas setahun dek kerana hujan sehari. Janganlah habis madu sepah dibuang. Eloklah beliau berfikir dulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan, memandangkan beliau sendiri pun dulu adalah antara pemimpin yang telah merosakkan imej UMNO di mata masyarakati,” akhiri beliau.

No comments:

Post a Comment