Nuffnang Ads

Thursday 13 March 2014

LHDN Proses Hampir Satu Juta Rayuan Awal BR1M

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang memproses hampir sejuta rayuan awal Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang dikemuka oleh pemohon yang belum lagi menerima bantuan itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata kebanyakan rayuan membabitkan pemohon yang pernah menerima bantuan itu.
Rayuan ini diterima sejak pelancaran BR1M 3.0 pada 22 Feb lepas sehingga sekarang, dan proses mempertimbangkan rayuan akan dilaksana selewat-lewatnya hujung bulan ini sebelum rayuan rasmi dibuka pada 1 April depan, katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat Pengarah LHDN Negeri Kedah/Perlis di Menara BDB di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shukor berkata antara punca penerima masih belum menerima BR1M 3.0 ialah perbezaan maklumat pada borang seperti salah ejaan nama, isu tanggungan, pendapatan isi rumah yang tidak sama dengan tahun terdahulu dan perubahan status perkahwinan. 
Sementara itu, Mohd Shukor berkata tarikh akhir penghantaran e-filing bagi pembayar cukai borang BE (tiada punca pendapatan perniagaan) dilanjutkan daripada 30 April depan kepada 15 Mei, sama seperti tahun lalu.
“Tahun lalu kami dah beri kelonggaran kepada pembayar cukai…tarikh akhir untuk taksiran sendiri itu pada 30 April tetapi kami lanjutkan kepada 15 Mei. Jadi tahun ini kami buat perkara yang sama.
“Jika pembayar cukai yang tidak menghantar borang kertas sebelum 30 April, mereka boleh  menggunakan e-filing dan ini juga bagi menggalakkan mereka berpindah kepada e-filing,” katanya.

No comments:

Post a Comment