Nuffnang Ads

Friday, 21 March 2014

Reformasi 2.0 Manifestasi Permainan Politik Pembangkang

Sememangnya pakatan pembangkang khususnya PKR amat sinonim dengan gerakan reformasi, maka tentunya penganjuran reformasi 2.0 yang bertemakan ‘Kembalikan Keadilan, Hentikan Kezaliman’ yang dijadualkan malam ini bukanlah sesuatu yang menghairankan, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Selangor, Salbiah Saari.
Ujar beliau, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang berlangsung sekarang ini adalah satu lagi bukti bahawa pakatan pembangkang menggunakannya bagi melancarkan reformasi 2.0.
“PKR memang terkenal dengan reformasi mereka malah sebelum ini pun macam-macam demonstrasi yang dilakukan walaupun ternyata matlamat mereka kabur dan gagal untuk difahami oleh para pesertanya sendiri pun,” katanya kepada UMNO-Online.
Pakatan pembangkang dijadualkan akan melancarkan jelajah rakyat bangkit melalui reformasi 2.0 yang antara tujuannya adalah untuk menamatkan segera onar penderitaan rakyat dengan satu fasa gagasan perjuangan yang diperbaharui lantaran kononnya kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRU lalu telah mengakibatkan mereka bertindak lebih zalim termasuklah menggunakan mahkamah sebagaimana hukuman yang dijatuhkan kepada Anwar Ibrahim.
“Soalnya sekarang siapa yang zalim kerana jika diperhalusi, pakatan pembangkang sendiri telah menggunakan keupayaan demokrasi itu untuk membolehkan PRK Kajang dibuat yang mana secara tidak langsung rakyat di sini terpaksa mengundi sekali lagi sedangkan PRU belum pun sampai setahun.
“Pemimpin dalam pakatan pembangkang bertindak tidak adil apabila mempergunakan jawatan wakil rakyat sebagai cara mereka menunjukkan kuasa sebagaimana ADUNnya tanpa sebarang sebab yang munasabah telah meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar yang kemudiannya diambil alih oleh Wan Azizah. Adakah ini satu keadilan?”
Tegas beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Tanjong Karang, tindakan pemimpin pakatan pembangkang khususnya pentadbiran Negeri Selangor menjadikan PRK Kajang sebagai mainan politik mereka adalah sesuatu yang bersifat zalim.
“Mereka mendakwa kerajaan zalim, tidak adil, penipu dan macam-macam lagi tuduhan sedangkan mereka sendiri tidak pula mempersoalkan tindakan yang para pemimpin mereka lakukan.
“Hanya kerana cita-cita politik, pemimpin pembangkang akibatkan PRK Kajang dibuat tanpa sebab munasabah, jadikan rakyat Kajang sebagai batu loncatan walhal banyak lagi janji-janji manis lalu tidak tertunai.”
Dalam hal ini beliau mengajak rakyat untuk menyorot pelbagai insiden negatif yang tercetus dari demonstrasi sebagimana reformasi jalanan, Bersih 1, 2 dan 3, himpunan ambang tahun baru dan macam-macam lagi.
“PRK Kajang ini hanya satu sandiwara mereka untuk melancarkan himpunan sebagaimana reformasi 2.0 kerana jika tidak ada PRK pun, demonstrasi jalanan akan tetap dilakukan oleh puak-puak pembangkang ini.”
Lebih dari itu katanya, tindakan pakatan pembangkang yang gemar menggunakan reformasi sebagai cara meluahkan perasaan mereka juga adalah satu lagi ketidakadilan yang dibuat.
“Mereka membuat tuduhan, zalim, tidak adil, kejam dan macam-macam lagi malah pihak berkuasa dan anggota badan beruniform yang melaksanakan tugas untuk memastikan keselamatan juga menjadi mangsa permainan politik mereka.”
Biarpun begitu katanya, BN tidak pernah mengendahkan tindakan negatif pakatan pembangkang kerana fokus utama adalah berkhidmat kepada rakyat dalam apa-apa jua keadaan.
Difahamkan, himpunan rakyat bangkit reformasi 2.0 ini akan dilaksanakan secara bersiri dengan menjelajah ke seluruh negara yang kemuncaknya dijadualkan melalui himpunan gergasi pada 1 Mei depan di medan jalan raya ibu kota.

No comments:

Post a Comment