Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berkata bahawa munculnya satu keyakinan baru buat Barisan Nasional (BN) dalam usaha memenangi pilihanraya kecil DUN Kajang berdasarkan isyarat yang diperlihatkan oleh penduduk di sini, khususnya pengundi dari kaum Cina sepanjang gerak kerja kempen bertemu pengundi di kawasan ini.
Sepanjang tempoh beliau bersama calon dalam kempen bertemu dengan masyarakat pengundi di kawasan ini, sambutan yang diberikan oleh pengundi, terutamanya dari kaum Cina telah memberikan satu harapan di mana ada kemungkinan besar, satu kejutan boleh berlaku di dalam PRK Dun Kajang ini.
“Apabila saya mengikuti Datin Paduka Chew Mei Fun berkempen bertemu pengundi dari satu tempat ke satu tempat di DUN ini, maka timbul suatu keyakinan baru berdasarkan kemesraan dan bahasa badan pengundi, terutama di kalangan pengundi Cina di kawasan ini.
“Apa yang boleh saya katakan, setiap kali calon kita pergi bertemu dengan pengundi-pengundi Cina di sini, sambutan yang mereka berikan begitu baik sekali dan kelihatannya mereka gembira dengan kehadiran Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon BN di sini,” jelasnya di sini hari ini.
Berdasarkan sikap yang diperlihatkan oleh pengundi Cina itu, beliau meyakini bahawa BN mampu untuk mencipta kejutan dengan memperolehi peratusan undi dari kaum Cina yang ada kemungkinannya jauh lebih tinggi daripada apa yang BN perolehi dalam PRU sebelum ini.
“Pada perkiraan kita, BN memerlukan sebanyak lebih 30 sehingga ke 40 peratus undi daripada masyarakat kaum Cina untuk memenangi PRK Kajang ini.
“Dan insyaAllah, sekiranya benar apa yang diperlihatkan oleh masyarakat kaum Cina terhadap calon kita seperti yang saya lihat sepanjang tempoh berkempen bersama Datin Paduka Chew Mei Fun, saya merasa yakin bahawa pada PRK kali ini, peratusan pengundi Cina untuk mengundi BN mungkin meningkat.
“Dan sekiranya peratusan yang kita harapkan daripada pengundi Cina untuk membolehkan BN memenangi PRK ini tercapai, maka akan berlakunya satu kejutan dalam keputusan PRK DUN Kajang yang boleh kita dianggap sebagai kubu kuat pembangkang ini,”ujarnya.
No comments:
Post a Comment