Masyarakat terus digesa agar tidak menyebarkan maklumat tidak sah berhubung insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata penyebaran maklumat yang diragui dan tidak diiktiraf bukan sahaja boleh menimbulkan kebimbangan dan menjejaskan siasatan malah boleh mengguris perasaan anggota keluarga dan kenalan penumpang pesawat terbabit.
“Dalam kes-kes tertentu dikira melampaui batas dan menyebabkan satu pihak merasa jelik, terancam, difitnah dan sebagainya dan seterusnya pihak tersebut melakukan aduan kepada pihak berwajib seperti SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) maka tindakan undang-undang berdasarkan akta-akta sedia ada boleh diambil.
“Sebaliknya sama-sama mendoakan kejayaan misi ‘Search and Rescue’ yang dijalankan dan semoga MH370 ditemui dan selamat, Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Jailani juga mengingatkan semua pengguna Internet terutamanya media sosial seperti Facebook dan Twitter supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan etika yang betul di saat negara menghadapi cabaran hebat menangani kehilangan pesawat MH370.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu.
No comments:
Post a Comment