Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa badan kehakiman negara diperalatkan apabila keputusan mahkamah memutuskan beliau dipenjara lima tahun setelah didapati bersalah kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari bukanlah sesuatu yang menghairankan.
Penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr Abdul Halim Sidek melihat, dakwaan Anwar yang memandang negatif terhadap sistem kehakiman negara apabila tidak berpihak kepadanya adalah sebagai tidak rasional kerana Anwar sendiri pernah menang beberapa kes dalam mahkamah.
“Kalau dia menang dalam kes yang membabitkan pakatan pembangkang, tidak ada pula pujian terhadap badan kehakiman sebaliknya jika tewas dan didapati bersalah maka pelbagai hinaan dan kejian dilontarkan kepada badan terbabit,” katanya.
Tegas beliau yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Anwar sebagai seorang warganegara Malaysia, menjawat Ahli Parlimen yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, maka tentunya beliau amat memahami perjalanan sistem perundangan dan kehakiman negara yang bergerak bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak termasuklah kerajaan.
“Sekiranya benar Anwar tidak mempunyai keyakinan dan kepercayaan kepada sistem kehakiman dan perundangan negara ini maka kenapa beliau menerima pembebasannya pada tahun 2004 yang dibuat Mahkamah Persekutuan selepas mengugurkan sabitan kesalahan liwat atas alasan pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti yang kukuh.
“Jika dia sendiri tidak mempercayai sistem kehakiman negara mengapa dia tidak menolak sahaja tawaran pembebasannya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh pejuang kebebasan Afrika, Nelson Mandela yang menolak tawaran pengurangan hukumannya pada tahun 1970-an dan tawaran pembebasannya pada tahun 1980-an.”
Bidas beliau lagi, jika benar Anwar tidak percaya kepada sistem perundangan negara ini maka sewajarnya dia lakukan tindakan boikot untuk semua perkara yang membabitkan undang-undang tanpa memilih ada perkara yang boleh dan ada pula yang tidak.
“Kalau nak boikot, maka boikotlah semua yang membabitkan hal-hal perundangan dan bukannya menganggap tidak apa apabila berpihak kepadanya sebaliknya dihina dan dipertikai apabila beliau sendiri didapati bersalah.
“Katanya, dia tidak bersetuju dengan sistem demokrasi di Malaysia namun mengapa masih bertanding dalam pilihan raya malah memilih sistem tersebut untuk DUN Kajang dan jika beliau tidak percaya dengan badan kehakiman mengapa pula beliau yang banyak memfailkan saman terhadap pelbagai pihak yang tidak menyebelahinya?”
Tegasnya yang juga Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, tindakan Anwar ini bersifat petualang negara yang akan mengelirukan orang ramai dengan sikapnya yang suka menegakkan benang yang basah.
“Bukan semua kes mahkamah yang membabitkan kerajaan akan menang dan begitu juga dengan Anwar yang tidak semua kes mahkamahnya berakhir dengan kekalahan kerana ada banyak juga kes yang dia menang.”
Terbaru, dilaporkan, Anwar berjaya dalam kes saman fitnah terhadap pengendali dan pemilik blog Papagomo, berhubung penyiaran artikel dan video seks yang mengaitkan pemimpin itu dengan seorang lelaki, tahun lalu dengan mendapat RM800,000 sebagai ganti rugi selain awal tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan memihak kepadanya dalam kes saman fitnah RM50 juta ke atas Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan ketua pengarangnya berhubung artikel berkaitan temu bualnya yang disiarkan oleh BBC pada tahun sebelumnya.
Sebelum itu, pada Jun 2012, Anwar turut menang kes saman fitnah yang dibawa ke atas bekas rakan sukan tenisnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung kenyataan kononnya menerima wang sebanyak RM60 juta.
“Dengan banyak kes yang telah Anwar menang adakah itu bermakna badan kehakiman masih tidak adil sedangkan realitinya Anwar yang enggan berpijak di bumi nyata dan cuba menafikan asas dalam sistem kehakiman iaitu yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar.”
Ujarnya lagi, badan kehakiman adalah badan yang bebas tanpa ada pengaruh dari mana-mana pihak sekalipun kerajaan yang memerintah malah kedudukan hakim itu sendiri ditentukan oleh Perlembagaan negara yang hanya boleh terlucut melalui tiga cara iaitu meninggal dunia, tidak sihat atau tidak boleh menjalankan fungsi dan telah melakukan jenayah atau melanggar undang-undang.
“Struktur kehakiman di negara kita menjamin bahawa hakim itu kebal untuk laksanakan tanggungjawabnya yang mesti menegakkan keadilan without fear or favor sementara tuduhan Anwar adalah berasaskan agenda peribadinya sendiri.”
Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Anwar dihukum penjara lima tahun setelah didapati bersalah kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari.
No comments:
Post a Comment