Nuffnang Ads

Thursday 20 March 2014

Malaysia Tidak Campur Keputusan Negara Asing Halang Individu Negara Ini – Hamzah

Malaysia tidak akan mencampuri keputusan yang dibuat mana-mana negara asing dalam menghalang individu daripada negara ini memasuki negara berkenaan.
Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata lazimnya tiada sebarang penjelasan perlu diberikan oleh negara berkenaan atas sebab musabab tindakan yang diambil itu.
“Setiap negara yang berdaulat mempunyai hak bagi menentukan polisi dan undang-undang negara masing-masing termasuk menentukan sendiri peraturan imigresen yang berkaitan.
“Lantaran itu, hak sesebuah negara untuk membuat kepastian dan keputusan untuk membenarkan seseorang warga negara asing memasuki atau sebaliknya ke dalam negara itu adalah hak mutlak negara berkenaan,” katanya menjawab soalan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Shamsul Iskandar ingin tahu peranan kementerian dalam memberi pandangan kepada pihak imigresen negara asing bagi menghalang individu atau tokoh politik memasuki negara berkenaan seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihalang daripada memasuki Jepun pada Januari lepas.
Hamzah berkata Kedutaan Besar Jepun di Kuala Lumpur telah menjelaskan secara terperinci bahawa larangan masuk berkenaan dilaksanakan berdasarkan Peruntukan Akta Kawalan Imigresen dan Pengiktirafan Orang Pelarian Jepun, Seksyen 11, Perkara 5(iv).
Pada 19 Jan lepas, Anwar tidak dibenarkan memasuki Jepun selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada pukul 6.45 pagi, bagaimanapun beliau menerima jemputan semula untuk ke Jepun pada 26 Feb lepas.
Hamzah berkata sekiranya individu pernah dihukum penjara lebih setahun seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kawalan Imigresen dan Pengiktirafan Orang Pelarian Jepun, Seksyen 11, Perkara 5(iv), individu tersebut perlu memohon visa khas untuk memasuki negara itu.
“Lain kali kalau hendak ke negara sebegitu, beritahu dengan kita dan kita akan bantu, apabila kita dapat tahu (Anwar ke Jepun sekali lagi), maka setiap hari kita hubungi kedutaan besar Jepun untuk berikan kelulusan, itulah bantuan kerajaan melalui Kementerian Luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment