Umno Bahagian Kota Bharu di semua peringkat perlu memainkan peranan bagi melaksanakan keberhasilan politik yang holistik dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat kepada parti itu.
Ketuanya, Datuk Fatmi Che Salleh berkata, jentera Umno pada masa yang sama di peringkat dalaman perlu diperkemaskan sistem keahlian yang sedia ada selain dari melancarkan pendaftaran anggota baru dengan kaedah yang canggih.
"Peranan menjayakan agenda itu mestilah dilaksanakan oleh ahli yang efektif, setia, istiqamah, berpengalaman serta mempunyai modal sosial untuk mendekati golongan sasar yang mereka dilihat serba boleh," katanya selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kota Bharu, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, Timbalan Ketua Umno bahagian, Hasnan Husin dan Naib ketua bahagian, Datuk Rosmadi Ismail masing-masing diberi tugas memainkan peranan menjana kekuatan organisasi dan struktur politik dalaman yang akan mengemukakan resolusi segala perkembangan segala hasil pendekatan politik yang betul dan realistik.
Fatmi menjelaskan, Hasnan dan Rosmadi diberi peluang untuk merealisasikan peranan masing-masing dalam tempoh 10 hari sebagai pemimpin yang mencapai KPI.
"Umno telah mendapat petunjuk baru selepas mesyuarat pemilihan yang baru lalu bagaimana peranan paling penting untuk menjana Umno kembali berpengaruh serta akrab dengan rakyat yang perlu dinilai oleh pemimpin parti.
"Umno mencatatkan sokongan pengundi muda Melayu begitu merosot yang berpunca dari pendekatan politik kita yang tidak signifikan dan kita perlu lebih kerap mendampingi mereka dengan perjuangan Umno yang sudah lama membela nasib bangsa, agama Islam dan pelbagai kepentingan negara," katanya yang juga bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment