Nuffnang Ads

Monday, 30 December 2013

2014, tahun mencabar buat Najib

Pelbagai spekulasi terhadap BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun ini dilihat sebagai cabaran baharu yang harus ditempuhi pemimpin nombor satu itu.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Zainal Keling berkata, walaupun isu itu bukanlah satu isu besar, namun ia berjaya dipolemikkan sesetengah pihak terutama pembangkang.

“Mungkin dengan isu kenaikan harga barang dan juga Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh menggugat kestabilan perdana menteri, namun itu bukan satu kepastian sama ada perkara tersebut akan merugikan rakyat kerana kerajaan bukanlah sekejam itu.

“Jika GST dilaksanakan, kerajaan akan mengambil kira pemberian subsidi lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dinaikkan, rakyat tidak akan mengalami sebarang kesengsaraan, apa yang digembar-gemburkan sekarang hanyalah agenda pihak tertentu untuk menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, cabaran itu sebenarnya lahir daripada sikap rakyat yang banyak terdedah dengan anasir yang boleh meruntuhkan pemikiran positif mereka kepada kerajaan.

Malah, ditanya mengenai langkah mengatasi hal tersebut, beliau berkata, dalam keadaan ini, semua pihak perlu melaksanakan peranan masing-masing terutama media bagi melatih minda masyarakat dengan perkara positif.

“Daripada penilaian saya, media cetak dan elektronik mempunyai peranan penting menyampaikan maklumat kepada rakyat. Memang diakui dunia sekarang tanpa sempadan tapi kita masih boleh mengawalnya dengan cara maklumat yang hendak disampaikan itu.

“Apa yang penting, jangan hasilkan maklumat bersifat spekulatif sehingga rakyat akan berfikiran negatif dengan apa yang hendak disampaikan itu, kongsi perkara sahih, positif dan mengikut etika serta tidak diputar belitkan. Tanggungjawab media untuk memastikan rakyat dapat maklumat betul, bukan fitnah mahupun tuduhan tidak berasas,” katanya.

No comments:

Post a Comment