Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan DAP supaya menghormati dan tidak mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, sebarang cubaan untuk meminda enakmen bersabit agama di negeri-negeri tertentu bukan sahaja tidak konsisten dengan perlembagaan persekutuan malah merupakan penghinaan secara langsung terhadap umat Islam di negara ini.
Bagaimanapun beliau mengingatkan, isu yang membabitkan syariat Islam tidak sewajarnya dijadikan polemik atau perdebatan secara terbuka kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan atau salah tafsiran di kalangan masyarakat.
“Mengapa apabila timbul sahaja isu membabitkan kepentingan Islam, ia seperti sengaja diperbesar-besarkan, seolah-olah satu isu yang memberi ancaman kepada bukan Islam,” tegasnya.
Beliau kesal kerana parti pembangkang terutama DAP sengaja menanamkan perasaan curiga dan kebimbangan bukan Islam terhadap penganut Islam di negara ini.
Walhal kata beliau, kedudukan Islam sebagai agama rasmi sudah diterima pakai dan diperakui rakyat pelbagai kaum di negara ini sejak sekian lama.
“Saya juga bmbang apabila mereka yang kurang arif perihal hukum dan syariat Islam membicarakannya secara terbuka, akan memberi persepsi negatif bukan Islam terhadap kemuliaan agama islam,” katanya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.com.
Malah tegasnya, apabila bukan Islam turut mempersoal dan mempertikaikan enakmen Islam dengan bersandarkan kepada peruntukan perundangan sivil kedaaan akan bertambah rumit dan mengelirukan.
Sebagai contoh beliau menyebut keputusan mahkamah terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tetepi keputusan itu dilanggar oleh pihak tertentu sehingga mengundang kemarahan umat Islam.
“DAP guna isu tersebut untuk menyemarakkan kemarahan bukan Islam terhadap kerajaan dan mereka jadikan UMNO sebagai sasaran,” tegasnya.
PENYESATAN AKIDAH GENERASI ISLAM
“Orang Islam marah kerana kalimah Allah telah dipersenda dan diperlakukan sedemikian rupa sehingga menjadi bahan momokan sesetengah pihak terutama bukan Islam.
Begitu juga dengan cadangan pindaan enakmen Islam di Selangor yang diusulkan oleh DAP, Syed Ali berhujah bahawa ia merupakan titik permulaan kearah penyesatan akidah umat Islam.
“Mengapa kita memandang mudah perkara membabitkan akidah ? Ini soal masa depan generasi Islam di negara ini, kita tidak mahu akhirnya Islam di Malaysia menjadi kabur dan hilang kekuatannya,” tegas beliau.
Bagi mengelak perbincangan dan pertelagahan pendapat secara lebih terbuka berhubung isu tersebut, beliau mencadangkan Majlis Fatwa Kebangasan mencari alternatif segera menanganinya.
Tambah beliau, walaupun isu tersebut berlaku di Selangor tetapi seluruh para ulama, tokoh-tokoh agama dan kalangan mufti perlu bersatu menentang sebarang cubaan yang dilakukan pihak tertentu untuk meminda enakmen tersebut.
Beliau menyifatkan cubaan DAP untuk meminda enakmen tersebut sebagai ‘test-market’ untuk melihat sejauhmana kesabaran orang Melayu dan umat Islam.
“Mereka sebenarnya nak lihat setakat mana kemarahan umat Islam dan sejauhmana tindakan yang bakal diambil,” ujar beliau sambil mendakwa DAP secara terbuka menghina kedudukan Yang Di-Pertuan Agiong sebagai ketua agama Islam di negara ini.
Syed Ali mengingatkan DAP supaya jangan sengaja memperalatkan isu agama untuk mencetuskan ketegangan antara penganut pelbagai agama di negara ini.
“Di pihak UMNO, kita beri amaran kepada DAP, jangan cuba berlagak sebagai batu api untuk melaga-lagakan antara penganut pelbagai agam khususnya Islam dengan Kristian, tahap kesabaran kita ada hadnya,” tegas beliau lagi.
Beliau menegaskan demikian sebagai reaksinya terhadap kenyataan Mufti Kelantan bahawa cadangan tiga wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam ) Enakmen 1988 disifatkan sebagai melampau dan tidak menghormati serta mencabar Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, enakmen tersebut telah diluluskan khusus untuk umat Islam dan tidak mengganggu-gugat agama-agama lain.
Beliau berkata, undang-undang itu juga amat penting bagi memastikan tidak ada pihak daripada agama lain memujuk dan menghasut umat Islam meninggalkan agama suci itu.
“Pada dasarnya enakmen itu ditubuhkan bagi mengawal, menyekat pengembangan dan kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam serta mampu mengekang gejala murtad di negara ini.
“Selain itu, enakmen berkenaan dilaksana supaya rakyat menghormati Perlembagaan Negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Mufti Kelantan itu mengulas cadangan tiga wakil rakyat DAP Selangor yang mahu enakmen tersebut dipinda susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah.
Bible tersebut dirampas dalam serbuan di sebuah premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment