Nuffnang Ads

Wednesday, 5 March 2014

Mesej Jelas Pengundi Kajang Tidak Mahu Nasib Mereka Terkapar-kapar

Mesejnya makin jelas, rata-rata pengundi di Dewan Undangan Negeri Kawasan Kajang tidak mahu diri mereka terkapar-kapar dan tidak mahu undi mereka dipersia-siakan hanya untuk tujuan yang tidak jelas.
Tinjauan rambang yang dilakukan ternyata mereka pada kali ini mahu memilih wakil rakyat yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka dan bukannya calon yang sekadar mahu menjadikan mereka batu loncatan untuk mengaut kepentingan peribadi.
Bagi Jeva Nadarajah, 48 dari Kajang Impian berpendapat sistem pilihanraya bukan sahaja di Malaysia, malah di dunia sekalipun, terasnya ialah memberikan khidmat dan bakti kepada rakyat dan pengundi, khususnya dalam soal kebajikan dan pembangunan untuk dinikmati oleh masyarakat secara keseluruhannya.
“Kita boleh tengok, semua pengundi di dunia sekalipun, bila dia diberikan tanggungjawab untuk mengundi, dia akan memberi penekanan calon yang akan dipilihnya atas khidmat yang akan diperolehi dari calon tersebut. Sebab itu, proses pengundian ini berlaku di seluruh dunia. Di dalam Negara kita, tahun lepas pada bulan Mei, termasuk di DUN Kajang ini kita dah keluar untuk mengundi dan memberi mandat yang  besar kepada Lee Chin Cheh sehingga dia menang besar.
“Itu sebenarnya adalah kepercayaan yang diberikan kepadanya tetapi mengapa beliau mengosongkan kerusi, walaupun belum sampai setahun PRU13, membuktikan beliau telah mengkhianati kepercayaan dan keyakinan pengundi kepadanya selama 6 bulan ini. Tidak sampai setahun, ini macam memperbodohkan rakyat sahajalah,” ujarnya di sini.
Beliau yang masih berahsia tentang calon yang menjadi pilihannya nanti sebaliknya berkata pengundi tidak sepatutnya mengikut emosi ketika membuat pengundian nanti tetapi perlu lebih rasional terutama bertanya kepada diri sendiri apakah wakil rakyat dipilih boleh memberi khidmat kepada pengundi dalam masa empat tahun akan datang.
Manakala bagi Azimah Samian, 35 dari Batu 9 Cheras, seorang pekerja swasta pula berpendapat mana-mana parti boleh menabur pelbagai janji tetapi pengundi akan menilai calon mana yang benar-benar berkemampuan untuk berkhidmat untuk mereka.
“Nama besar atau nama kecil bukan lagi perkiraan. Yang penting kita nak wakil rakyat yang senang dan selalu boleh nampak muka. Apa guna nama besar kalau dia sendiri sibuk dengan hal lain.
“Undi saya untuk calon yang kita boleh percaya dan ikhlas untuk berkhidmat.  Kalau rakyat susah senang nak cari… kita dah tahu siapa perintah Selangor tapi pilihan raya kecil ni kita nak tahu siapa yang layak wakil kita”, katanya.
Beliau dan suami yang akan mengundi pada 23 Mac ini mengakui sudah pun ada calon pilihan tetapi enggan menyatakakan calon parti mana yang akan diundi nanti.
Pendapat yang sama diberikan Shaifullah Mohd Ikbal 40 yang berkata pengundi memerlukan seorang calon yang benar-benar boleh berkhidmat di kawasan Kajang ini, bukannya calon yang banyak jawatan dan jika menang di Kajang, calon tidak dapat memberikan perkhidmatan terbaik sehingga menyebabkan rakyat terkapar-kapar untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Bagaimana seseorang yang sudah banyak jawatan termasuk ahli parlimen di Permatang Pauh, kini nak pula jadi calon di Kajang, kalau dah menang, dia ada cadangan pula nak jadi Menteri Besar, oleh itu rakyat Kajang harus memikirkan bakal calon yang akan dipilih 23 Mac nanti, adalah beliau benar-benar boleh berkhidmat untuk masyarakat di Kajang?
“Kita mahukan seorang calon atau wakil rakyat yang berkhidmat dan paling penting, wakil yang senang kita berhubungan dengannya,” ujarnya yang juga pengundi di PDM Kajang Impian.
Bagi  Gavin Low, 37 yang mahukan wakil rakyat menjalankan tugasnya yang mewakili rakyat dalam menenuhi segala permasalahan rakyat, bukannya dijadikan sebagai alat untuk memenuhi kepentingan peribadi dirinya ataupun ketua parti mereka.
“Saya yakin, wakil BN boleh melakukan yang terbaik, boleh menumpukan tugas dan peranannya untuk membuat pembangunan di kawasan Kajang selain menyelesaikan masalah-masalah berbangkit,” ujarnya memberikan harapan yang besar kepada BN dalam PRK Kajang, 23 Mac ini.
Turut memberikan pendapat, seorang warga emas yang hanya mahu memperkenalkan dirinya sebagai Pak Mus, 61 yang menyifatkan pilihan raya kecil ini sebagai peluang keemasan untuk mengajar erti amanah dan kepercayaan.
“Tak ada apa makna pun.  Siapa menang dan kalah tetap macam ni juga.  Tapi undi adalah satu hak kita.  Apa yang kita dapat?…  Saya dah tua tapi saya nak undi saya jadi bermakna untuk mengajar mereka yang ghairah sangat nak main politik.  Politik ada had dan batasan.  Jangan ingat rakyat ni mudah nak dimain-main.
“Politik buang masa macam ni takde apa faedah pun.  Tapi saya tetap akan turun mengundi… memang penat tengok gelagat parti-parti yang berkempen nanti…. mereka boleh buat macam-macam kempen tapi orang macam saya dah tak makan kempen… saya meluat dengan politik kurang  masak seperti apa yang berlaku sekarang”, katanya.

No comments:

Post a Comment