Ikon terbaharu negara, Jambatan Kedua Pulau Pinang atau JK2PP, dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini dengan disaksikan lebih 10,000 orang.
Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada kira-kira 8.30 malam untuk merasmikan jambatan sepanjang 24km itu, yang merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara.
Turut mengiringi Najib ialah Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Acara bersejarah penuh warna-warni itu turut disaksikan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeane Abdullah, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak berkuasa Pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq dan barisan exco kerajaan negeri.
Ketibaan Najib dan Rosmah disambut dengan nyanyian 1M4U dan orang ramai dilihat berpusu-pusu mahu bersalam dan mengambil gambar mereka.
Sejurus Perdana Menteri merasmikan jambatan kedua itu, langit pulau mutiara diserikan dengan pertunjukan bunga api sebagai simbol perasmian jambatan baharu itu.
Perdana menteri dan isteri turut menaiki bas dua tingkat tanpa bumbung dari persimpangan Batu Maung hingga ke gerbang jambatan itu.
Setelah dinanti-nantikan selama lima tahun, jambatan baharu itu akan dibuka pada 12.01 tengah malam ini untuk membolehkan orang ramai melihat sendiri keunikan struktur jambatan dan plaza tol itu, yang dikatakan terbesar di negara ini dengan 28 kiosk bayaran.
Jambatan sepanjang 24 kilometer dengan 17 kilometer daripadanya merentasi laut dan tujuh kilometer di daratan, bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri terutama di zon perindustrian tanah besar di Batu Kawan.
Jambatan Kedua P.Pinang Dinamakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
Kerajaan bersetuju untuk menamakan Jambatan Kedua Pulau Pinang sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
“Kalau ada sebuah jambatan yang begini hebat dan orang akan sebut Jambatan Pulau Pinang Kedua, ia tak ada ‘umph’, tak signifikan…
“Semoga terbinanya jambatan ini dan dengan nama (Yang di-Pertuan Agong), Insya-Allah akan kekal abadi secara berpanjangan dalam lipatan sejarah Malaysia,” katanya semasa berucap merasmikan jambatan itu di sini.
Sambil menyifatkannya sebagai detik yang amat bersejarah dan penting dalam perjalanan negara, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa pengguna jambatan itu tidak akan dikenakan tol selama sebulan.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata jambatan itu bukan sahaja mercu tanda baharu negara tetapi juga mencetuskan pemangkin kepada proses pembangunan dan kerancakan ekonomi Pulau Pinang dan koridor utara.
Menurutnya laluan selatan dipilih bagi pembinaan jambatan kedua itu bagi membangunkan sekitar kawasan Nibong Tebal, Batu Kawan di bahagian seberang dan Balik Pulau di bahagian pulau serta limpahannya turut dapat dirasai oleh Kedah, Perlis dan utara Perak.
“Projek ini dicadangkan oleh (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) pada 1995 dan apabila Tun Abdullah (Ahmad Badawi) menjadi perdana menteri, beliau mempunyai dua pilihan laluan iaitu utara dan selatan, dan beliau membuat keputusan memilih cadangan laluan selatan,” katanya.
Najib berkata walaupun berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Pulau Pinang pada 2008, tetapi projek itu diteruskan kerana ia adalah untuk manfaat rakyat Pulau Pinang.
“…inilah semangat yang perlu kita pupuk, perlu ada cita-cita besar kepada Malaysia. Oleh itu, adalah penting walau apa pun fahaman politik kita, kita perlu utamakan pembangunan negara,” kata Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment