Keputusan penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias menolak pelantikan beliau sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno bukanlah keputusan beliau sendiri, sebaliknya ia diputuskan bersama ahli keluarga.
Abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata, keputusan adiknya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak malah beliau sendiri menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau menjadi penghalang kepada pelantikan itu.
"Jangan menuduh saya seolah-olah menghalang hasrat perdana menteri lantik Kazim.
"Keputusan Ustaz Kazim itu keputusan bersama, kalau PM masih perlukan khidmat dan sumbangan beliau, dia boleh bantu cara lain, bukan dalam MT," katanya kepada pemberita di lobi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Beliau yang juga penasihat agama kerajaan negeri Perak kesal apabila ada pihak menuduhnya mengenakan desakan ke atas Ustaz Kazim sehingga keputusan itu dibuat.
Menurutnya, beliau hanya menasihatkan adiknya itu meminta perdana menteri memberi jaminan agar pusat pendidikan al-Barakah yang dikendalikannya kekal terpelihara.
"Saya sudah berkata kepada Ustaz Kazim supaya ada jaminan pusat pendidikan al-Barakah akan terjamin.
"Sekiranya Ustaz Kazim berada sepenuhnya dalam MT Umno, saya khuatir sumber pendapatan pendidikan itu akan terbantut," katanya lagi.
Beliau berharap mana-mana pihak supaya tidak mencampuradukkan soal agama dengan politik malah beliau sendiri menyokong adiknya dalam gerakan dakwah yang lebih bebas, boleh ke mana sahaja dan tanpa mengira fahaman politik.
Ditanya tentang ugutan selepas Ustaz Kazim menyatakan pendiriannya, Najmuddin berkata, beliau sendiri diugut dan dilemparkan tohmahan dengan kata-kata kesat di beberapa laman sosial serta tindakan vendalisme.
"Ada kes di mana cakera padat ceramah Ustaz Kazim dibakar oleh pihak yang membantah beliau sertai MT Umno.
"Setakat ini saya tidak buat laporan polis melainkan ia membahayakan nyawa kami sekeluarga," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment