Hasrat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk meneruskan pembinaan terowong bawah tanah dilihat sebagai bermotifkan kepentingan politik peribadi dan bukanlah semata-mata untuk kemudahan rakyat di negeri itu, demikian jelas seorang penganalisa politik, Prof Madya Dr. Hanafiah Harun.
Beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) berkata, Lim Guan Eng sepatutnya menjustifikasikan dengan jelas keperluan untuk membina terowong di bawah laut itu memandangkan jambatan kedua Pulau Pinang sudah pun siap untuk digunakan.
“Saya fikir, tidak ada keperluan yang mendesak untuk beliau meneruskan rancangan pembinaan terowong tersebut melainkan ianya mempunyai kepentingan politik di situ. Bagi saya, mungkin Guan Eng inginkan ‘self glorification’ dengan pembinaan terowong tersebut ketika di bawah pentadbirannya.
“Jika pembinaan tersebut diteruskan, maka saya yakin ia akan memberikan kesan terhadap ekologi laut dalam serta akan menjejaskan punca pendapatan nelayan dan mereka yang bergantung kepada laut sebagai sumber pendapatan,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Kenyataan Lim Guan Eng di dalam sebuah portal berita yang menganggap bantahan pembinaan terowong tersebut akan merosakkan sistem ekologi laut dan merupakan satu pembaziran sebagai bantahan rapuh, memperlihatkan sikap rakus beliau yang tidak mempedulikan pandangan rakyat.
“Mungkin Lim Guan Eng tidak pernah memikirkan tentang titik bengit masalah masyarakat khususnya golongan yang menjadikan laut sebagai sumber pendapat mereka di negeri tersebut. Sebab itu, beliau menganggap pandangan rakyat berhubung perkara itu sebagai bantahan rapuh yang tidak perlu dipedulikan,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, sebagai Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepatutnya mengambil kira daripada semua aspek sebelum meneruskan pembinaan terowong tersebut.
“Kalau menurut kata jurutera pastinya semua boleh dibuat tetapi kita perlu ingat, sehebat-hebat kapal titanic yang dikatakan mustahil untuk tenggelam, akhirnya karam juga. Begitu juga dengan Highland Tower yang pastinya dikatakan selamat, namun akhirnya menyembah bumi.
“Begitu juga dengan isu terowong di bawah tanah ini. Sudah pasti mereka (jurutera) akan mengatakan bahawa ianya boleh dilakukan tetapi kita perlu lihat akan kesan yang akan menimpa kepada keadaan persekitaran yang sudah pastinya akan tercemar dan memberikan kesan kepada sistem ekologi lautan dan manusia yang berada di sekitarnya.
“Apatah lagi, ia ternyata satu pembaziran yang nyata apabila jambatan kedua Pulau Pinang yang begitu besar sudah pun siap terbina dan sudah boleh digunakan. Jika alasan untuk mengurangkan kesesakan trafik, maka dengan adanya jambatan kedua itu maka ia sudah memadai.
“Dalam isu ini, saya berpandangan bahawa ianya lebih kepada untuk nama dan kepentingan politik peribadinya saya kerana memandangkan kini tidak ada keperluan yang mendesak untuk membina sebuah terowong bawah laut di negeri tersebut,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment