Pergerakan Wanita Umno hari ini melancarkan penubuhan Alumni Pejuang Wanita Umno yang antara lain akan mendokumentasikan segala hal berkaitan pemimpin veterannya yang banyak berjasa.
Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata selain mengumpulkan maklumat mengenai golongan pemimpin veteran pergerakan itu, badan itu juga akan membolehkan bantuan tertentu disalurkan kepada anggotanya.
“Ini akan dibuat termasuk melalui penubuhan Tabung Kebajikan Pejuang Nadi Rakyat yang akan dilancarkan Jun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penghargaan Pergerakan Wanita Umno di sini.
Shahrizat menarik perhatian bahawa penubuhan alumni itu menunjukkan semua wanita mempunyai tempat dalam pergerakan berkenaan.
Majlis hari ini menyaksikan tujuh pemimpin Wanita yang pernah memegang jawatan di peringkat pusat dan 39 lagi di peringkat negeri menerima penghargaan berbentuk sijil dan cenderahati. Turut menerima penghargaan ialah 73 bekas Ketua Wanita Umno bahagian.
Sementara itu, Shahrizat menegaskan Wanita tidak gentar dalam menghadapi pembangkang pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang bulan ini.
“Saya jangkakan berlaku satu kempen yang ‘ganas’ di pihak pembangkang tetapi kita Wanita Umno tidak rasa gentar walau sedikitpun kerana kita sentiasa siap sedia,” katanya.
PRK DUN Kajang dijadual berlangsung 23 Mac ini susulan peletakan jawatan wakil rakyatnya Lee Chin Cheh pada 27 Jan lepas. Hari penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.
No comments:
Post a Comment