Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menyelar pendekatan berterusan pembangkang yang cuba memperlihatkan orang lain lebih buruk untuk menyembunyikan keburukan dirinya sendiri.
Sambil menyifatkan pendekatan politik seperti itu merupakan satu perbuatan yang ketinggalan zaman beliau seterusnya berkata setiap pembohongan tidak akan berjaya sepanjang masa kerana lambat laun akan memerangkap diri sendiri.
Menurut beliau, pendekatan seperti itu seringkali digunakan oleh manusia yang cuba memprotretkan diri mereka mulia dan suci di mata manusia dengan menghina dan memburuk-burukkan orang lain, bagi menutup kelemahan dan kepincangan yang ada dalam diri mereka.
“Inilah yang dipanggil sebagai defence mechanism dalam istilah psikologi yang diberi nama ‘projection’. Golongan ini cuba memperlihatkan orang lain lebih buruk untuk menyembunyikan keburukan dirinya sendiri.
“Sebagai contoh, jika seseorang pemimpin politik itu kaki menipu, maka dia cuba untuk menggambarkan ahli politik lain yang menjadi musuhnya itu juga sebagai kaki penipu, bagi memindahkan sifat buruk yang ada pada dirinya itu pada musuhnya.
“Untuk itu, pelbagai persepsi dan gambaran negatif akan dibina dan dilontarkan kepada agar rakyat terpengaruh dan seterusnya memandang buruk kepada seseorang pemimpin berdasarkan persepsi negatif yang digambarkan itu,dan dia pula akan dilihat sebagai seorang yang jujur dan baik,” tegasnya.
Pendekatan seperti inilah menurut beliau yang dilakukan oleh pihak pembangkang dalam kaedah berpolitik sehingga menyebabkan ada segelintir rakyat di negara ini yang terpengaruh dan akhirnya menimbulkan rasa benci dan marah terhadap kepimpinan UMNO dan kerajaan yang sedia ada hari ini.
“Sedangkan hakikat sebenarnya, segala persepsi yang dicipta itu adalah lebih kepada fitnah, tohmahan dan dakyah semata-mata. Ianya amat jauh dari kebenaran sebenar. Dan tohmahan serta fitnah yang dilemparkan itu tidak akan bertahan lama kerana kebenaran akan diketahui juga akhirnya oleh rakyat,” ujarnya.
Beliau seterus menasihati agar kepimpinan pembangkang berhenti menggunakan taktik memburukkan orang lain atau melaga-lagakan orang lain untuk memperlihatkan dirinya lebih baik dari orang yang dicemuh dan diburuk-burukan itu.
“Seperti yang saya kata tadi, itu taktik lama. Rakyat hari ini sudah cerdik. Mungkin di waktu awal-awal pembangkang menggunakan taktik seperti ini, ada rakyat yang terpengaruh tetapi hari ini saya yakin ramai yang sudah sedar dengan cara dan pendekatan pembangkang ini.
“Hari ini rakyat mahu lihat bukti. Jika anda kata mahu berkhidmat untuk rakyat, maka buktikan dengan perbuatan. Jangan hanya cakap-cakap saja sepertimana apa yang diperlihatkan oleh kepimpinan pembangkang hari ini. Berjanji itu dan ini, sampai masanya tidak laksanakan. Rakyat sudah muak dengan cakap-cakap politik kosong seperti itu,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment