Wanita Barisan Nasional (BN) sudah sedia mengambil peranan melakukan serang balas terhadap setiap tohmahan yang dibuat parti lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bermula minggu depan.
Ketua Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pendekatan ofensif melibatkan penggunaan media sosial itu bertujuan mendedahkan maklumat sebenar bagi menghalang keberanian melampau pembangkang menyebarkan tohmahan dan fitnah untuk kepentingan politik.
“Mainan politik pembangkang amat dahsyat terutama dalam media sosial. Mereka bebas lempar tohmahan dan biarkan rakyat mencari kebenaran…kami tak boleh terima dan tidak akan hanya berdiam diri.
“Untuk itu, Wanita BN telah tubuh unit media sosial bagi menyelaras serangan balas berdasarkan fakta yang dikumpul setiap parti dalam komponen BN, dan unit ini akan terus memainkan peranan walaupun selepas PRK Kajang berakhir,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita BN di sini hari ini.
Beliau berkata penubuhan unit yang akan dikoordinasi bekas Ketua Puteri UMNO Datuk Noraini Ahmad, yang juga Penolong Setiausaha Wanita BN, itu akan meluaskan lagi capaian maklumat rakyat terutama pengundi di Kajang yang majoritinya celik komputer tetapi mungkin terkeliru dengan tohmahan pembangkang melalui medium itu.
Ia juga selaras dengan pendekatan ofensif yang akan digunakan BN ketika berkempen seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, kata Shahrizat.
Bagi memenangi hati 39,278 pengundi di DUN Kajang merangkumi 50.07 peratus wanita, beliau berkata Wanita BN akan meneruskan peranan yang sudah sinonim dengan mereka iaitu bergerak dari ‘pintu ke pintu’ untuk bersemuka dengan pengundi bagi menerangkan mengapa calon BN perlu dipilih.
Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO, berkata selain menjelaskan kemelut yang melanda parti lawan yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri Selangor, jentera Wanita akan berperanan sebagai ejen penyatuan rakyat bagi merungkai tuduhan pembangkang kononnya BN tidak sensitif dengan kehendak penduduk apabila meletakkan wakil MCA sebagai calon.
“Sebagai tulang belakang BN, Wanita akan bergerak ke setiap rumah menjelaskan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin pakatan pembangkang serta kemudaratan yang mungkin berlaku sekiranya calon dari parti lawan menang dalam pilihan raya itu,” katanya.
PRK yang dijadual berlangsung 23 Mac itu menyaksikan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun bakal berdepan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Bebas, antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.
Ia diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripadsa PKR pada 27 Jan lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
No comments:
Post a Comment