Nuffnang Ads

Monday, 3 March 2014

Rakyat Perlu Selidik Terlebih Dulu Informasi Yang Disebarkan Pembangkang – Salleh

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini membidas pakatan pembangkang yang seringkali mengelirukan rakyat dengan penyebaran fakta serta informasi yang tidak tepat bertujuan menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan.
Jelas beliau, permainan pihak pembangkang yang cuba mencipta persepsi buruk di pemikiran rakyat terhadap kerajaan dengan cara seperti itu merupakan tektik politik kotor yang tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada rakyat dan negara.
dr-salleh-tun-said-keruak-sabah
“Pembangkang tidak habis-habis memutar belitkan fakta, baik di media massa atau media maya, sehingga menyebabkan rakyat merasa keliru, dan tidak kurang juga terpengaruh dengan fakta-fakta palsu pembangkang. Ini merupakan satu permainan politik yang kotor serta tidak membawa apa-apa manfaat kepada pembinaan negara.
“Seperti mana kita lihat sebelum dan selepas PRU yang lalu, terlalu banyak dakwaan serta informasi pembangkang yang sengaja dicetuskan bagi mencipta kekeliruan di kalangan rakyat, akhirnya dapat menimbulkan rasa sangsi rakyat terhadap kerajaan. Namun, pembohongan itu tidak kekal lama dan akhirnya kebenaran muncul satu persatu,” tegasnya di sini hari ini.
Sebagai contoh kata Salleh, tidak lama dulu pihak pembangkang menguar-uarkan ke seluruh negara kononnya negara bakal bangkrap sekiranya BN dibiarkan terus berkuasa.
“Tetap kita dapat lihat melalui statistik, pada suku keempat 2013, ekonomi Malaysia telah mencatat peningkatan dalam kadar pertumbuhan KDNK tahunan sebanyak 5.1%, iaitu yang terpantas dalam empat suku tahunan, melalui sokongan daripada permintaan sektor swasta dan peningkatan dalam nilai eksport. Secara perbandingan, kadar pertumbuhan KDNK Singapura bagi suku keempat 2013 adalah 0.3% sementara kadar pertumbuhan tahunannya adalah pada 6.1%.
“Manakala pertumbuhan penggunaan swasta kekal pada kadar tinggi dalam suku keempat walaupun kadar pengembangannya adalah sederhana iaitu hanya 7.3% berbanding 8.2% pada suku sebelumnya,”ujarnya.
Katanya lagi, berdasarkan fakta tersebut, di manakah rasionalnya dakwaan pakatan pembangkang yang mendakwa bahawa negara akan bangkrap dalam masa beberapa tahun lagi sekiranya terus berada di bawah pentadbiran BN, soal beliau.
Jelas beliau lagi, pada 2003, semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri, kadar pertumbuhan KDNK Malaysia hanya lebih sedikit daripada 6%. Apabila Tun Abdullah bersara, kadar pertumbuhan KDNK adalah pada tahap negatif atau minus 6%.
“Namun pada 2010, kurang daripada setahun selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih sebagai Perdana Menteri, kadar pertumbuhan KDNK Malaysia telah melonjak kepada lebih daripada 10%. Pada tahun 2011 ia stabil pada kadar 5% , sehinggalah sekarang.
“Bagi pelarasan bermusim mengikut suku ke suku tahunan, ekonomi telah meningkat 2.1%. Bagi tahun 2013, KDNK berkembang sebanyak 4.7 %,” katanya.
Ini merupakan salah satu  contoh menurut Salleh, di mana pihak pembangkang bijak dalam soal memutar belitkan fakta serta informasi, dalam usaha mereka untuk menghasut serta menimbulkan rasa benci rakyat terhadap kerajaan.
“Selama ini pihak pembangkang dan peramal-peramal malapetaka ini  tidak putus-putus menguar-uarkan kepada rakyat bahawa negara ini akan bankrap, pentadbiran yang kononnya tidak cekap, boros, penipuan dan sebagainya. Tetapi sekiranya kita tahu melalui statistik, fakta serta  informasi yang tepat, ia telah  membuktikan apa yang berlaku adalah sebaliknya,” akhiri beliau.

No comments:

Post a Comment