Memorandum Persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri bekalan air Selangor yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan negeri Selangor telah selesai namun masih ada antara pemimpin pakatan pembangkang yang seakan tidak berpuas hati.
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar berkata, Menteri Besar iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah ketua eksekutif untuk pentadbiran kerajaan Negeri Selangor yang mempunyai kuasa bagi membuat sebarang keputusan untuk kepentingan rakyat terbabit.
“Saya percaya, beliau melakukan sesuatu yang betul untuk masa hadapan keseluruhan masyarakat negeri tersebut tanpa melihat kepada keperluan, desakan atau agenda pihak tertentu,” katanya.
Beliau yang juga Yang DiPertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Selangor berkata demikian dalam mengulas berkaitan tindakan negatif beberapa pemimpin pembangkang yang nyata tidak bersetuju dengan MoU yang dimeterai.
Antaranya ialah Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengakui tidak mengetahui berkaitan MoU berkaitan biarpun menjawat Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, begitu juga dengan Pengerusi PKR Selangor iaitu Azmin Ali dan antara yang paling lantang mengkritik perjanjian konsesi tersebut ialah Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli merangkap Pengarah Strategik PKR.
Dalam kritikan terbabit, Rafizi mendakwa MoU terbabit merupakan satu kerugian buat rakyat di negeri itu serta bersifat berat sebelah dan tidak memberi faedah kepada rakyat Negeri Selangor.
“Ada sesuatu yang tidak kena apabila kepimpinan pembangkang yang datang dari satu parti iaitu PKR dan dalam satu negeri di Selangor lebih senang menggunakan media untuk melahirkan rasa tidak tahu dan meminta penjelasan dari Menteri Besarnya.
“Ini menunjukkan bahawa tidak ada pakatan dalam parti terbabit, apatah lagi untuk dilihat sepakat dengan anggota parti sekutunya iaitu Pas dan DAP. Dalam PKR pun saling berahsia dan tidak tahu menahu walhal mereka menjawat tanggungjawab dan jawatan yang penting.”
Katanya, tentunya para pemimpin yang cenderung menggunakan media sebagai perantara dalam menyelesaikan masalah sebagaimana Anwar, Azmin dan Rafizi mempunyai agenda tertentu.
“Barangkali mereka mahukan populariti kepada rakyat apatah lagi musim pemilihan untuk PKR sendiri tidak lama lagi dan inilah peluang bagi mereka menjadi hero atau seolah-olah benar-benar dilihat bertanggungjawab.”
Lebih teruk lagi katanya, pakatan pembangkang gagal dalam pengurusan kepimpinan dan penyaluran maklumat kerana mereka tidak mempunyai saluran dan prosedur lengkap sebagaimana dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
“Terbukti prosedur dan langkah-langkah yang dibuat BN amat berkesan, mempunyai etika dalam penyampaian info semasa, mempunyai penilaian berkaitan sesuatu keputusan apatah lagi melibatkan kepimpinan tertinggi parti dan kepentingan rakyat,” katanya.
Pada 26 Februari lalu, Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mewakili kerajaan pusat manakala kerajaan negeri Selangor diwakili Menteri Besarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menandatangani MoU itu di Putarajaya dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
MoU ini antara lain melibatkan penstrukturan semula industri air Selangor dengan lebih tertumpu pada usaha memastikan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dapat dilaksanakan, dan melibatkan perkara penting seperti tarikh mula kerja, pengambilan lebih 75 keping tanah dan pelantikan kontraktor.
No comments:
Post a Comment